Kesum adalah sejenis tumbuhan herba dari keluarga Polygonaceae yang terdapat di Malaysia dan negara yang beriklim tropika. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, dan Vietnam. Ia digunakan sebagai ulaman dan bahan untuk masakan seperti asam pedas dan juga laksa Penang.
Pokok kesum merupakan sejenis tumbuhan renek yang menjalar di atas tanah atau memanjat pokok yang lain sebagai sokongan. Ketinggian pokok kesum mampu mencapai sehingga 1 meter di kawasan tanah rendah tetapi di kawasan tanah tinggi seperti di Tanah Tinggi Cameron, ia mampu tumbuh sehingga setinggi 1.5 meter. Daun kesum berwarna hijau gelap dengan bentuk panjang dan tajam di hujung daun. Susunan daun kesum adalah bersilang dalam bilangan 3-5 helai daun pada satu tangkai daun.